Tuesday, March 20, 2012

Rahsia sulit ,mereka yang berumur 30 tahun ke atas

Memasuki usia 30, ramai yang mula mengambil berat tentang isu-isu kesihatan. Mereka akan mula menyedari bahawa diet serta gaya hidup bakal menentukan tahap kesihatan mereka untuk jangka pendek mahupun jangka panjang.

Sebagai contoh, jika seseorang itu berhenti merokok pada usia 35 tahun, mungkin jangka hayatnya tidak jauh beza dengan mereka yang tidak merokok.

Ramai yang mencapai umur 30 tahun akan mula mengambil makanan tambahan (suplemen) seperti multivitamin, minyak ikan dan vitamin C.

Bagaimanapun dengan tanggungjawab yang bertambah, diet yang tidak menentu dan gaya hidup yang sibuk, suplemen yang diambil sebenarnya belum mencukupi.

Keletihan dan kekurangan tenaga akan terus mempengaruhi kualiti kehidupan seharian mereka.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan penurunan Coenzyme 10 (CoQ10) iaitu vitamin dalam tubuh yang membantu meningkatkan tenaga.

Pertama kali ditemui pada tahun 1957, CoQ10 berperanan menyokong segala keperluan kesihatan, badan yang letih akibat kekurangan tenaga dan mengekalkan stamina seseorang.

Ia membantu mengurangkan oxsidasi dan kolesterol di samping mengekalkan keseimbangan arteri pada jantung dan berperanan mengeluarkan setiap tenaga dalam sel badan.

CoQ10 terdapat dalam semua sel badan dan kandungannya paling tinggi pada organ yang memerlukan paras oksigen tinggi seperti jantung.

Ia bersifat anti oksida dan berupaya melindungi sel daripada radikal bebas yang merosakkan.

Tubuh menghasilkan CoQ10, namun jumlahnya hanya separuh daripada yang diperlukan oleh badan. Selebihnya datang daripada diet pemakanan di mana sumber makanan terbaik adalah daripada daging dan ikan, selain brokoli, bunga kubis, kekacang, bayam dan soya.

Bagaimanapun jumlah CoQ10 yang diserap daripada diet makanan ini juga masih rendah. Justeru, apabila usia meningkat, suplemen dengan CoQ10 adalah disarankan memandangkan tubuh akan semakin kurang menghasilkannya.

Ia dapat disedari apabila tahap tenaga kita semakin menurun.

Suplemen mengandungi CoQ10 terbukti berkesan kepada pesakit diabetis dan hipertensi di mana bukan saja mampu menurunkan tekanan darah, malah paras gula dalam darah juga terkawal.

Sementara itu, paras CoQ10 boleh berkurang disebabkan pengambilan ubat kolesterol. Justeru pengambilan suplemen CoQ10 adalah disarankan bagi meningkatkan semula paras CoQ10, di samping dapat meningkatkan pengumpulan lemak dalam LDL- kolesterol.

Nota:-

- Jika kita kurang bersenam kerana tiada masa , anda kemungkinan berisiko tinggi untuk mengalami penyakit seperti di nyatakan.. .......solusi mulakan 10ribu langkah setiap hari atau sekurang-kurangnya 3kali seminggu.

- Jika kita selalu menikmati makanan segera ( fast food ) , makanan bergoreng & bersantan seperti kari dan gulai juga berpotensi besar mengalami penyakit di atas..........solusi amalkan setiap hari makanan yang di panggang atau di rebus dan jauhi makanan segera.

- Jika tidak boleh melakukan 2 perkara di atas, kita di nasihatkan memiliki Insurans Perubatan / Takaful Perubatan serta Life Insurans / Takaful Keluarga kerana jika di hidapi penyakit ini memerlukan kos perubatan yang tinggi dan rawatan dengan segera. Keluarga kita juga memerlukan perlindungan Pendapatan yang hilang ( tidak bekerja - tiada gaji ) sewaktu mengubati sakit ini.


Monday, March 19, 2012

Tabiat pemakanan sihat - Adakah kita pasti kita sihat ?

ADAKAH kita kenal sesiapa yang mengalami diabetes, atau sesiapa yang meninggal dunia secara tiba-tiba daripada serangan penyakit jantung? Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai paras kolesterol tinggi atau tekanan darah tinggi?

Kebarangkalian amat tinggi bahawa hampir semua antara kita mempunyai saudara mara, rakan atau kenalan yang mempunyai masalah seperti ini.

Realiti kehidupan pada abad ke-21 dengan kemajuan teknologi telah membawa kepada kehidupan yang lebih mudah dan jangka hayat yang lebih panjang.

Namun ironinya kita mengalami lebih banyak masalah kesihatan berbanding nenek moyang kita.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah seperti diabetes, penyakit jantung dan hipertensi merujuk kepada penyakit kronik yang berkaitan dengan diet dan dikenali sebagai Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Senarai penyakit tidak berjangkit ini panjang termasuk kanser, buah pinggang, osteoporosis, pundi hempedu, dan banyak lagi.

Laporan status dunia 2010 daripada WHO mengenai NCD telah mencatatkan rekod yang mengejutkan pada 2008, iaitu sebanyak 36.1 juta kematian disebabkan empat penyakit tidak berjangkit yang utama iaitu jantung, kronik peparu, kanser dan diabetes.

Hampir 80 peratus daripada kematian ini berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Secara global, kematian disebabkan penyakit tidak berjangkit dijangka meningkat sebanyak 15 peratus di antara 2010 dan 2020, mencecah 44 juta kematian setahun.

Malangnya, Malaysia tidak ketinggalan juga dengan masalah penyakit tidak berjangkit. Apa yang membimbangkan, penyakit kronik yang berkaitan dengan diet adalah lazim bagi kanak-kanak dan orang dewasa di Malaysia dan telah meningkat dengan pantas.

l Serangan penyakit jantung dan strok adalah sebahagian daripada lima punca utama kematian.

l Satu daripada lima penduduk Malaysia ialah pesakit diabetes dan jumlahnya meningkat sebanyak dua kali ganda daripada 1.5 juta pada 2006 kepada tiga juta pada 2011.

Berubah Walaupun penyakit-penyakit ini tidak boleh diubati, pencegahan dan pengurusan penyakit tidak berjangkit ada dalam tangan anda sendiri.

"Sekarang anda tahu bahawa punca-punca penyakit kronik yang berkaitan dengan diet disebabkan beberapa gabungan faktor. Anda mesti membuat perubahan dalam pemakanan dan gaya hidup untuk mengurangkan risiko menghidapi penyakit-penyakit ini. Penyakit yang berkaitan dengan diet ini boleh dicegah," nasihat Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Dr. Norimah A Karim.

Dr. Norimah menasihatkan supaya mengamalkan tabiat makan secara sihat dengan mengikuti prinsip keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

"Piramid Makanan Malaysia adalah panduan terbaik untuk makan secara sihat kerana ia mengutamakan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam diet harian kita.

"Anda boleh mengamalkan keseimbangan dengan mengambil makanan daripada lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan. Untuk mencapai kesederhanaan, ikutilah bilangan hidangan yang disarankan untuk mengelakkan makan berlebihan yang boleh menyebabkan lebih berat badan. Pastikan mengambil daripada setiap kumpulan makanan kerana tiada satu makanan yang boleh membekalkan kesemua nutrien yang anda perlukan," terang beliau.

Cara lain untuk meningkatkan kesihatan anda adalah dengan menjauhi penyakit kronik iaitu dengan mengamalkan gaya hidup aktif.

Kajian menunjukkan bahawa senaman atau aktiviti fizikal adalah penting dalam kehidupan sihat kerana membantu menyeimbangkan tenaga (kalori) yang diambil, serta mencegah penyakit kronik dan kematian pramatang.

"Individu yang mengamalkan aktiviti fizikal biasanya lebih sihat daripada mereka yang kurang aktif. Mereka kurang mengalami masalah kesihatan seperti osteoporosis dan kanser terutamanya kanser kolon, payu dara dan prostat. Aktiviti fizikal kerap juga membantu menggalakkan suasana yang sejahtera, melepaskan tekanan dan mengurangkan kemungkinan mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan," tambah beliau.

Panduan Diet Malaysia (MGD) menyarankan supaya semua orang dewasa melakukan senaman intensiti sederhana selama 30 minit, sekurang-kurangnya lima hingga enam hari seminggu, sebaik-baiknya setiap hari. Kanak-kanak dan remaja pula disaran melakukan aktiviti fizikal selama 60 minit atau lebih setiap hari, sama ada aktiviti fizikal intensiti sederhana atau tinggi.

Apabila kecergasan anda meningkat, paras intensiti dan masa untuk aktiviti fizikal boleh ditingkatkan secara beransur-ansur. Anda juga disarankan menyertai aktiviti yang meningkatkan fleksibiliti, kekuatan dan ketahanan otot sebanyak dua hingga tiga kali seminggu. Lebih penting lagi, had amalan yang tidak aktif dan tabiat yang sedentari seperti menonton televisyen, memandu, atau menggunakan komputer, tidak melebihi dua jam sehari.

"Jadi aktif setiap hari dengan pelbagai cara yang anda boleh. Fikirkan setiap pergerakan sebagai satu peluang untuk meningkatkan kesihatan anda dan bukannya sesuatu yang menyusahkan. Cuba berjalan menaiki tangga dan tidak menggunakan lif atau eskalator.

"Berjalan ke kedai yang berhampiran, bukan memandu kereta. Lakukan kerja-kerja rumah seperti menyapu dan mop lantai, mencuci pakaian menggunakan tangan dan bukan menggunakan mesin," nasihat Dr. Norimah.

Note:-

* Jika kita tidak bersedia dari sekarang , kita telah diskaun kan kesihatan kita pada masa yang akan datang

* Insuran Perubatan sama sekali tidak menerima kita jika di dapati menghidap Darah tinggi dan juga Diabetis.

* Jika kita telah dilindungi Insurans Perubatan oleh pihak majikan , di sarankan segera memiliki Insurans Perubatan peribadi bagi menjamin persediaan perlindungan selepas tamat tempoh perkhidmatan.

* Untuk keterangan lebih lanjut mengenai pelan insurans perubatan boeh hubungi di email : -

pru1way@gmail.com


Thursday, March 8, 2012

Luahan & keluhan hati seorang Wanita

Ini adalah luahan hati dan perasaan saya, seorang insan kerdil lagi teraniaya. Saya seorang balu yang baru kematian suami. Suami saya seorang pesara pegawai kerajaan telah meninggal dunia dalam persaraan. Kini saya masih dalam edah.

Saya tidak mempunyai pekerjaan selain dari seorang surirumah sepenuh masa. Pendapatan saya selama ini untuk menyara hidup hanya bergantung pada pencen arwah suami semata-mata semasa hayat suami saya masih ada. Sebahagian besar wang pencen habis digunakan untuk membeli ubat semasa hayatnya dan semasa sakit dan juga semasa sakit tenat dan terlantar, saya seorang diri menjaganya tanpa bantuan sesiapa. Arwah suami saya tidak mempunyai harta, tidak mempunyai wang simpanan, rumah bersewa selama-lamanya ini. Segala urusan kematiannya hingga menguruskan batu nisan, saya selesaikan seorang diri walaupun itu tugasan orang lelaki.

Pencen yang tak seberapa nilainya dihentikan setelah suami saya meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Saya tidak mampu bekerja atas sebab kesihatan.

Masalah timbul setelah suami pergi buat selama-lamanya, saya kehilangan tempat bergantung dan hilang pendapatan. Kini bagaimana harus saya teruskan hidup ini? Saya hanya seorang surirumah sepenuh masa dan tambahan pula mempunyai anak yang masih belajar di IPTA. Kesusahan dan penderitaan ini ditanggung sendiri. Masalah seperti saya ini mungkin juga dialami oleh ramai balu di luar sana.

Persoalannya:

Pencen arwah suami saya yang tak seberapa itu adalah satu-satunya sumber kewangan saya dan keluarga untuk teruskan hidup selama ini dan dengan pencen itu jugalah yang menampung perbelanjaan bulanan bagi pengajian anak saya di IPTA, sewa rumah, bil-bil sara hidup, ubat-ubatan arwah suami dan lebih membebankan lagi saya terpaksa melunaskan hutang-hutang arwah suami juga melalui wang pencen. Hutang wajib dibayar oleh waris yang masih hidup mengikut syarak - saya harus bayar dengan apa?

Saya amat memerlukan wang pencen arwah suami saya itu. Lebih mendukacitakan apabila rayuan demi rayuan telah saya buat kepada pelbagai pihak namun tidak mendapat sebarang maklum balas dan jawapan yang positif dan tidak dilayan. Adakah surat-surat saya tidak diterima oleh penerima yang sebenar atau tidak dibaca langsung oleh penerima yang saya tujukan atau adakah surat dan rayuan saya itu tidak memberi kesan kepada mereka kerana saya bukan dari golongan ternama, kroni atau bangsawan bagi mereka. tTuhan saja yang tahu perkara ini.

Menyedari keadaan ini menyebabkan saya rasa amat kecewa, menderita dan hilang tempat mengadu. Rasanya saya lebih rela dihukum mati daripada menanggung penderitaan ini. Kesempitan hidup yang saya lalui ini turut dirasai anak saya di IPTA yang mula meluahkan hasrat untuk berhenti dari belajar dan mencari kerja untuk teruskan hidup. Walaupun dia terpaksa 'survive and struggle' untuk berjaya mendapatkan tempat di IPTA.

Surat dari JPA yang menyatakan dukacita tidak dapat dipertimbangkan permohonan dan rayuan saya itu sungguh membuatkan saya rasa teramat gerun dan teramat kecewa dan menderita. Alasannya mudah; akta yang digunapakai tidak membenarkannya.

Saya bukanlah cendekiawan ulung, namun bagi saya akta hanyalah ciptaan dan ditulis oleh manusia sahaja dan kandungannya boleh digubal dan akta juga bukanlah isi kandungan al-Quran yang sememangnya tidak boleh diubah oleh sesiapa pun di dunia ini termasuk rasulullah sendiri. Disebabkan akta, saya percaya ramai orang boleh menderita seperti saya dan disebabkan akta jugalah manusia boleh jadi gila. Jika nak diikutkan akta, apabila suami saya mati, si isteri juga mesti mati. Kejadian ini saling tak tumpah seperti zaman purbakala di India.

Bagi pendapat saya segala ciptaan dan tulisan manusia boleh diubah demi kebaikan manusia sejagat, dan satu-satunya perkara yang tidak boleh diubah adalah isi kandungan al-Quran sahaja kerana itulah ciptaan Allah buat hambaNya.

Kini, timbul sedikit penyesalan bagi saya kerana berkahwin dengan golongan pesara yang mana saya tidak ketahui mengenai kewujudan akta ciptaan manusia itu. Malang lagi nasib saya kerana banyak yang telah saya korbankan; habis masa muda saya dan penuh dengan rasa kasihan demi seorang pesara, pengorbanan saya membuat saya terkorban. Kini, walau saya menangis air mata darah sekalipun, masa tetap tidak akan berpatah balik lagi.

Melalui kesusahan dan penderitaan yang saya alami ini saya dapat merasakan roh arwah suami saya tidak tenteram kerana air mata penderitaan saya sentiasa mengalir tanpa hentinya hingga hari ini.

Tidak terfikirkah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat untuk mengubah aktanya bagi golongan balu malang seperti saya ini yang bergantung hanya kepada pencen tanpa sumber pendapatan yang lain? kini saya telah kalah teruk dalam permainan ini atau dalam bahasa lainnya 'game over'(G.O).

Justeru itu, saya memohon kepada JPA untuk mengkaji semula atas segala rayuan saya untuk mendapat pencen arwah suami saya itu. Cubalah fikir sebaik-baiknya jika sekiranya penulis arahan dan pencipta akta itu di tempat saya, apakah perasaan mereka? Mereka juga akan berperasaan seperti saya dan tentunya akan bertindak mungkin juga jauh lebih agresif dari saya. Pencen arwah suami saya dihentikan selaras dengan akta tulisan dan ciptaan manusia. Bagaimana pula kehidupan saya dan anak seterusnya? Mengikut hukum syarak, berdosa besar bagi mana-mana pemimpin yang membiarkan kami menderita sedangkan kami ada hak untuk menuntut pencen itu.

Persoalannya, bagaimana pula tentang pengobanan suami saya semasa hayatnya? Pencen adalah sumbangan kerajaan kepada pesara dan apabila meninggalnya si pesara itu, maka warisnya yang susah berhak mewarisi pencen tersebut. Jasa arwah sepatutnya dikenang sepertimana kata-kata Allahyarham Tunku Abdul Rahman, mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama dalam satu ucapannya yang dipetik dari sebuah buku yang bertajuk '50 Tahun Meniti Puncak' yang bunyinya seakan-akan begini, "seseorang yang pernah berjasa kepada negara patut dikenang jasanya lebih-lebih lagi perkhidmatannya semasa dan sebelum perang dunia". Butir-butir ucapannya mungkin bukanlah terlalu sama seperti itutetapi membawa maksud yang serupa. Tapi, apa daya saya, seorang insan kerdil lagi teraniaya, keadaan saya amat mendukacitakan yang mana pencen dihentikan tika dan saat saya amat memerlukan.

Sekali lagi timbul persoalan pada saya kenapa saya mengalami masalah ini di saat kerajaan menguar-uarkan slogan yang menarik perhatian rakyat yakni "1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN" dan mengatakan bahawa tiada seorang rakyat pun yang akan terpinggir. Tetapi, nampaknya sayalah orang pertama yang sudahpun terpinggir di bumi sendiri kerana tiada pembelaan, tidak dapat membela diri dan tiada rasa belas kasihan oleh pihak berwajib mengenai masalah dan tuntutan saya. Dan sekali lagi saya tertanya-tanya, rakyat macam manakah yang 'didahulukan'?

Kini saya terasa bagaikan ditambat, diikat tangan dan kaki dan disebat dengan cemeti-oh, betapa sakitnya! Mengharungi pelbagai liku, ranjau dan duri membuatkan saya terasa amat gerun sekali memandangkan sewa rumah tertunggak, begitu juga dengan bil-bil. Anak yang masih belajar juga tidak dapat saya beri wang saku lagi. Andai kata saya terpaksa pindah rumah sekalipun, hal itu juga memerlukan duit dan apa yang menyedihkan adalah jika saya ditakdirkan berpindah, rumah yang bakal didiami juga adalah rumah sewa juga. Bagaimana pula dengan bantuan perubatan? Selama ini kami hanya bergantung kepada status arwah sebagai pesara untuk mendapatkan rawatan.

Saya bukannya hendak menongkat langit dengan wang pencen tersebut, saya rela sekiranya diberi pencen bersyarat andaikata anak saya dah bekerja selepas tamat pengajian nanti. Pada masa itu, pihak JPA berhak mengambil semula pencen itu. Saya tidak rela anak saya untuk berhenti belajar hanya disebabkan akta ciptaan manusia itu manakala jika itu adalah akta al-Quran, maka saya reda dan terima hakikatnya. Kerajaan boleh menarik banyak lagi sumber lain tetapi bukan pencen suami saya.

Setakat ini belum ada pihak yang tampil bertanya khabar, memberi perhatian mahupun pertolongan jauh sekali membantu diri ini.

Kini, setiap saat berlalu saya rasa bagaikan mati, setiap ruang di hati ini tidak ada lagi ketenangan dan betapa menderitanya saya tika dan saat ini.

Pemergian suami saya buat selama-lamanya amat memberi kesan dan tamparan hebat buat saya, tidak terhingga penderitaan yang saya tanggung ini, tambahan pula saya terpaksa harunginya seorang diri kerana saya tiada sesiapa lagi, ibubapa saya telah lama kembali ke rahmatullah.

Akhir sekali, saya menyeru kepada golongan wanita yang mengalami nasib seperti saya, tampillah tidak kira berapa ramai sekalipun walaupun ianya tetap tidak memberi kesan kepada golongan tertentu. Dan ambillah langkah pengajaran dan iktibar dari mimpi ngeri yang saya alami ini. Bukan mudah jadi balu, lebih-lebih lagi ada anak yang masih dalam jagaan.

Dan ingatlah, harta yang banyak dan pangkat yang tinggi tidak bererti jika tidak diberkati Allah.

Written by Cinta Pesara

Suami bukan pelan persaraan wanita ? Betul ke ni ?


Kegilaan membeli-belah yang keterlaluan mungkin perlu dikurangkan jika wanita mahu melalui usia persaraan dengan selesa dari segi kewangan.

RAMAI wanita beranggapan suami adalah teman sehidup semati, tempat bermanja dan bergantung segala-galanya. Suatu anggapan yang ideal untuk pasangan yang melayari bahtera perkahwinan.

Namun setiap wanita juga harus bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan kerana setiap pelayaran pasti tidak sunyi daripada cabaran dan dugaan.

Suatu fenomena yang mungkin menyentuh sukma seorang wanita, tetapi merupakan hakikat yang perlu diterima ialah lazimnya jangka masa bekerja bagi seorang wanita lebih singkat dan pendapatan yang diperolehi juga agak kurang berbanding lelaki sepanjang hayatnya.

Namun, wanita didapati menikmati kehidupan lebih lama dari kaum lelaki. Jangka hayat wanita Malaysia adalah 79 tahun berbanding lelaki 75 tahun.

Justeru, kaum wanita kena merancang persaraan yang lebih panjang dengan sumber pendapatan yang terhad.

Data 2007 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan penyumbang wanita memiliki purata simpanan sejumlah RM84,955.62 ketika mencapai usia persaraan 55 tahun, RM47,584 lebih rendah daripada purata penyumbang KWSP negara yang mencecah RM132,539.782.

Jika seseorang wanita bersara pada usia 55 tahun dan meneruskan kehidupan sehingga 79 tahun, dia cuma ada RM283.15 sebulan untuk dibelanjakan jika hanya KWSP menjadi tempat bergantung.

Situasi ini tentu tidak menyenangkan di mana tahap pendapatannya berada di bawah garis kemiskinan iaitu RM750 sebulan. Tambahan pula pendapatan RM283.25 sebulan untuk tempoh 25 tahun belum mengambil kira faktor inflasi boleh menjejaskan simpanan dan kualiti hidup.

Kenapa wanita agak ketinggalan untuk menyimpan?

Seorang wanita lazimnya mempunyai anak semasa berada di puncak kerjayanya. Ada yang memilih untuk tinggal di rumah menjaga kebajikan anak-anak dan keluarga. Ini secara tidak langsung membantutkan sumbangan KWSP mereka.

Tanpa sumber pendapatan, wanita juga tidak berupaya menyimpan secukupnya. Walaupun jika mereka kembali bekerja selepas anak-anak membesar, tahun-tahun yang ditinggalkan bermakna mereka terpaksa kembali ke tahap yang sama seperti sebelum mereka berhenti kerja.

Atau lebih ketara lagi, kemahiran mereka juga mungkin tidak secekap dahulu. Ini menyebabkan mereka terus ketinggalan dalam kerjaya, gaji dan simpanan.

Wanita juga lumrahnya menggunakan simpanan untuk membantu ahli keluarga yang memerlukan dan menganggap keperluan keluarga lebih utama daripada peribadi.

Wanita yang berkahwin juga biasanya menyerahkan bulat-bulat tugas pengurusan kewangan kepada suami yang dikasihi.

Kaum lelaki lebih cenderung untuk menjaga kewangan jangka panjang manakala kaum wanita pula secara amnya lebih menumpukan kepada bajet harian.

Si isteri mungkin menyerahkan tugas merancang persaraan kepada suami mereka dan ini boleh menyebabkan pelan kewangannya yang tidak menentu.