
Ini adalah luahan hati dan perasaan saya, seorang insan kerdil lagi  teraniaya. Saya seorang balu yang baru kematian suami. Suami saya  seorang pesara pegawai kerajaan telah meninggal dunia dalam persaraan.  Kini saya masih dalam edah. 
Saya tidak mempunyai pekerjaan selain dari seorang surirumah sepenuh  masa. Pendapatan saya selama ini untuk menyara hidup hanya bergantung  pada pencen arwah suami semata-mata semasa hayat suami saya masih ada.  Sebahagian besar wang pencen habis digunakan untuk membeli ubat semasa  hayatnya dan semasa sakit dan juga semasa sakit tenat dan terlantar,  saya seorang diri menjaganya tanpa bantuan sesiapa. Arwah suami saya  tidak mempunyai harta, tidak mempunyai wang simpanan, rumah bersewa  selama-lamanya ini. Segala urusan kematiannya hingga menguruskan batu  nisan, saya               selesaikan seorang diri walaupun itu tugasan orang lelaki.
 Pencen yang tak seberapa nilainya dihentikan setelah suami saya  meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Saya tidak mampu bekerja atas  sebab kesihatan.
 Masalah timbul setelah suami pergi buat selama-lamanya, saya  kehilangan tempat bergantung dan hilang pendapatan. Kini bagaimana harus  saya teruskan hidup ini?  Saya hanya seorang surirumah sepenuh masa dan  tambahan pula mempunyai anak yang masih belajar di IPTA. Kesusahan dan  penderitaan ini ditanggung sendiri. Masalah seperti saya ini mungkin  juga dialami oleh ramai balu di luar sana.
 Persoalannya:
 Pencen arwah suami saya yang tak seberapa itu adalah satu-satunya  sumber kewangan saya dan keluarga untuk teruskan hidup selama ini dan  dengan pencen itu jugalah yang menampung perbelanjaan bulanan bagi  pengajian anak saya di IPTA, sewa rumah, bil-bil sara hidup, ubat-ubatan  arwah suami dan lebih membebankan lagi saya terpaksa melunaskan  hutang-hutang arwah suami juga melalui wang pencen. Hutang wajib dibayar  oleh waris yang masih hidup mengikut syarak - saya harus bayar dengan  apa?
 Saya amat memerlukan wang pencen arwah suami saya itu. Lebih  mendukacitakan apabila rayuan demi rayuan telah saya buat kepada  pelbagai pihak namun tidak mendapat sebarang maklum balas dan jawapan  yang positif dan tidak dilayan. Adakah surat-surat saya tidak diterima  oleh penerima yang sebenar atau tidak dibaca langsung oleh penerima yang  saya tujukan atau adakah surat dan rayuan saya itu tidak memberi kesan  kepada mereka kerana saya bukan dari golongan ternama, kroni atau  bangsawan bagi mereka. tTuhan saja yang tahu perkara ini.
 Menyedari keadaan ini menyebabkan saya rasa amat kecewa, menderita  dan hilang tempat mengadu. Rasanya saya lebih rela dihukum mati daripada  menanggung penderitaan ini. Kesempitan hidup yang saya lalui ini turut  dirasai anak saya di IPTA yang mula meluahkan hasrat untuk berhenti dari  belajar dan mencari kerja untuk teruskan hidup. Walaupun dia terpaksa  'survive and struggle' untuk berjaya mendapatkan tempat di IPTA.
 Surat dari JPA yang menyatakan dukacita tidak dapat dipertimbangkan  permohonan dan rayuan saya itu sungguh membuatkan saya rasa teramat  gerun dan teramat kecewa dan menderita. Alasannya mudah; akta yang  digunapakai tidak membenarkannya.
 Saya bukanlah cendekiawan ulung, namun bagi saya akta hanyalah  ciptaan dan ditulis oleh manusia sahaja dan kandungannya boleh digubal  dan akta juga bukanlah isi kandungan al-Quran yang sememangnya tidak  boleh diubah oleh sesiapa pun di dunia ini termasuk rasulullah sendiri.  Disebabkan akta, saya percaya ramai orang boleh menderita seperti saya  dan disebabkan akta jugalah manusia boleh jadi gila. Jika nak diikutkan  akta, apabila suami saya mati, si isteri juga mesti mati. Kejadian ini  saling tak tumpah seperti zaman purbakala di India.
 Bagi pendapat saya segala ciptaan dan tulisan manusia boleh diubah  demi kebaikan manusia sejagat, dan satu-satunya perkara yang tidak boleh  diubah adalah isi kandungan al-Quran sahaja kerana itulah ciptaan Allah  buat hambaNya.
 Kini, timbul sedikit penyesalan bagi saya kerana berkahwin dengan  golongan pesara yang mana saya tidak ketahui mengenai kewujudan akta  ciptaan manusia itu. Malang lagi nasib saya kerana banyak yang telah  saya korbankan; habis masa muda saya dan penuh dengan rasa kasihan demi  seorang pesara, pengorbanan saya membuat saya terkorban. Kini, walau  saya menangis air mata darah sekalipun, masa tetap tidak akan berpatah  balik lagi.
 Melalui kesusahan dan penderitaan yang saya alami ini saya dapat  merasakan roh arwah suami saya tidak tenteram kerana air mata  penderitaan saya sentiasa mengalir tanpa hentinya hingga hari ini.
 Tidak terfikirkah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan  masyarakat untuk mengubah aktanya bagi golongan balu malang seperti saya  ini yang bergantung hanya kepada pencen tanpa sumber pendapatan yang  lain? kini saya telah kalah teruk dalam permainan ini atau dalam bahasa  lainnya 'game over'(G.O).
 Justeru itu, saya memohon kepada JPA untuk mengkaji semula atas  segala rayuan saya untuk mendapat pencen arwah suami saya itu. Cubalah  fikir sebaik-baiknya jika sekiranya penulis arahan dan pencipta akta itu  di tempat saya, apakah perasaan mereka? Mereka juga akan berperasaan  seperti saya dan tentunya akan bertindak mungkin juga jauh lebih agresif  dari saya. Pencen arwah suami saya dihentikan selaras dengan akta  tulisan dan ciptaan manusia. Bagaimana pula kehidupan saya dan anak  seterusnya? Mengikut hukum syarak, berdosa besar bagi mana-mana pemimpin  yang membiarkan kami menderita sedangkan  kami ada hak untuk menuntut  pencen itu.
 Persoalannya, bagaimana pula tentang pengobanan suami saya semasa  hayatnya? Pencen adalah sumbangan kerajaan kepada pesara dan apabila  meninggalnya si pesara itu, maka warisnya yang susah berhak mewarisi  pencen tersebut. Jasa arwah sepatutnya dikenang sepertimana kata-kata  Allahyarham Tunku Abdul Rahman, mantan Perdana Menteri Malaysia yang  pertama dalam satu ucapannya yang dipetik dari sebuah buku yang bertajuk  '50 Tahun Meniti Puncak' yang bunyinya seakan-akan begini, "seseorang  yang pernah berjasa kepada negara patut dikenang jasanya lebih-lebih  lagi perkhidmatannya semasa dan sebelum perang dunia". Butir-butir  ucapannya mungkin bukanlah terlalu sama seperti itutetapi membawa maksud  yang serupa. Tapi, apa daya saya, seorang insan kerdil lagi teraniaya,  keadaan saya amat mendukacitakan yang mana pencen dihentikan tika dan  saat saya amat memerlukan.
 Sekali lagi timbul persoalan pada saya kenapa saya mengalami masalah  ini di saat kerajaan menguar-uarkan slogan yang menarik perhatian rakyat  yakni "1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN" dan  mengatakan bahawa tiada seorang rakyat pun yang akan terpinggir. Tetapi,  nampaknya sayalah orang pertama yang sudahpun terpinggir di bumi  sendiri kerana tiada pembelaan, tidak dapat membela diri dan tiada rasa  belas kasihan oleh pihak berwajib mengenai masalah dan tuntutan saya.  Dan sekali lagi saya tertanya-tanya, rakyat macam manakah yang  'didahulukan'?
 Kini saya terasa bagaikan ditambat, diikat tangan dan kaki dan  disebat dengan cemeti-oh, betapa sakitnya! Mengharungi pelbagai liku,  ranjau dan duri membuatkan saya terasa amat gerun sekali memandangkan  sewa rumah tertunggak, begitu juga dengan bil-bil. Anak yang masih  belajar juga tidak dapat saya beri wang saku lagi. Andai kata saya  terpaksa pindah rumah sekalipun, hal itu juga memerlukan duit dan apa  yang menyedihkan adalah jika saya ditakdirkan berpindah, rumah yang  bakal didiami juga adalah rumah sewa juga. Bagaimana pula dengan bantuan  perubatan? Selama ini kami hanya bergantung kepada status arwah sebagai  pesara untuk mendapatkan rawatan.
 Saya bukannya hendak menongkat langit dengan wang pencen tersebut,  saya rela sekiranya diberi pencen bersyarat andaikata anak saya dah  bekerja selepas tamat pengajian nanti. Pada masa itu, pihak JPA berhak  mengambil semula pencen itu. Saya tidak rela anak saya untuk berhenti  belajar hanya disebabkan akta ciptaan manusia itu manakala jika itu  adalah akta al-Quran, maka saya reda dan terima hakikatnya. Kerajaan  boleh menarik banyak lagi sumber lain tetapi bukan pencen suami saya.
 Setakat ini belum ada pihak yang tampil bertanya khabar, memberi perhatian mahupun pertolongan jauh sekali membantu diri ini.
 Kini, setiap saat berlalu saya rasa bagaikan mati, setiap ruang di  hati ini tidak ada lagi ketenangan dan betapa menderitanya saya tika dan  saat ini.
 Pemergian suami saya buat selama-lamanya amat memberi kesan dan  tamparan hebat buat saya, tidak terhingga penderitaan yang saya tanggung  ini, tambahan pula saya terpaksa harunginya seorang diri kerana saya  tiada sesiapa lagi, ibubapa saya telah lama kembali ke rahmatullah.
 Akhir sekali, saya menyeru kepada golongan wanita yang mengalami  nasib seperti saya, tampillah tidak kira berapa ramai sekalipun walaupun  ianya tetap tidak memberi kesan kepada golongan tertentu. Dan ambillah  langkah pengajaran dan iktibar dari mimpi ngeri yang saya alami ini.  Bukan mudah jadi balu, lebih-lebih lagi ada anak yang masih dalam  jagaan.
 Dan ingatlah, harta yang banyak dan pangkat yang tinggi tidak bererti jika tidak diberkati Allah.
Written by Cinta Pesara