Thursday, September 8, 2011

INSURANS DAN TAKAFUL BILA NAK BUAT TUNTUTAN JE SUSAH... !!!!

Dokumen lengkap, tiada unsur penipuan Memudahkan usaha pembayaran tuntutan........
SERING kali pemegang polisi insurans mengeluh ketika membuat tuntutan insurans kerana mendakwa lewat dan sukar untuk membuat tuntutan. Tidak kurang yang mendakwa syarikat insurans menaburkan ‘janji palsu’ apabila saat tuntutan mahu dibuat atau mengenakan syarat ketat ketika tuntutan dipohon.

Benarkah dakwaan itu atau masalah berkaitan tuntutan sebenarnya disebabkan kesilapan dan kecuaian pemegang polisi yang tidak menyertakan dokumen lengkap atau tidak benar-benar memahami manfaat insurans yang ditawarkan?

Pengurus Kewangan dan Eksekutif Kanan, Prudential Assurance Malaysia Berhad , Mohd Haniff Mohd Ramza berkata, pemegang polisi yang sukar membuat tuntutan adalah disebabkan mereka tidak memberi maklumat lengkap atau sepenuhnya ketika membeli insurans.

Pada masa sama, ejen insurans pula tidak mengambil maklumat diperlukan seperti yang termaktub dalam borang insurans.

“Saya percaya jika semua maklumat diberikan pemegang polisi tepat ketika mengisi borang insurans seperti butiran kesihatan serta penyakit yang sedia ada, maka isu tuntutan tidak dibayar syarikat insurans tidak akan timbul,” katanya.

Mohd Haniff berkata, kaedah membuat tuntutan itu turut bergantung kepada setiap kes individu dan laporan perubatan pihak doktor jika ia membabitkan insurans hayat dan kesihatan.

“Jika pemegang polisi menggunakan kad perubatan, proses tuntutan adalah amat mudah dan cepat kerana pemegang polisi hanya perlu mendapat kelulusan pihak doktor untuk dimasukkan ke wad. Proses kemasukan wad menggunakan kad perubatan perlulah diikuti dengan bayaran pendahuluan antara RM200 hingga RM300 kepada pihak hospital dan pihak hospital pula akan mendapat kelulusan melalui pihak Prudential sama ada polisi pemegang polisi masih aktif.

“Perlu diingat, kad perubatan tidak boleh digunakan untuk tujuan kemasukan wad jika polisi insurans itu sudah tamat tarikh luputnya. Jadi, sebagai pemegang polisi mereka perlu sentiasa ingat membayar premium insurans tepat pada masanya untuk mengelak polisi daripada luput,” katanya.

Beliau berkata, di Prudential, pemegang polisi yang menggunakan kad perubatan harus mendapat kelulusan rasmi (Surat Jaminan Awal) daripada pihak Jabatan Tuntutan di syarikat berkenaan.

“Semua proses ini akan dikendalikan antara pihak hospital dan Jabatan Tuntutan di Prudential. Pihak ejen pemegang polisi boleh membantu mempercepatkan proses kemasukan wad menerusi panggilan ke Jabatan Pelanggan bagi mendapatkan status terkini proses itu.

“Sebelum pihak pemegang polisi keluar wad, pihak hospital perlu sekali lagi mendapatkan kelulusan terakhir bagi bayaran penuh bil hospital. Lazimnya, mana-mana syarikat insurans menetapkan pihak pemegang polisi perlu membayar 10 peratus ko-insurans daripada jumlah bil penuh hospital ketika keluar wad.

“Bagi pemegang polisi Prudential pula, ko-insurans 10 peratus akan dikenakan tetapi syarikat kami meletakkan had minimum bayaran ko-insurans antara RM300 hingga RM1,000. Dengan cara ini, pihak pemegang polisi mendapat manfaat yang lebih kerana walaupun bil sepenuh hospital kemungkinan mencecah RM50,000 tetapi pihak pemegang polisi hanya perlu membayar RM1,000 sebagai bayaran maksimum ko-insurans,” katanya.

Mengulas tempoh penyelesaian tuntutan insurans, Mohd Haniff berkata, jika pihak pemegang polisi membuat bayaran sendiri dulu ke atas bil hospital dan diikuti dengan tuntutan melalui borang ditetapkan, dokumen berkenaan perlu diisi doktor yang merawat pemegang polisi ketika dirawat di hospital.

“Bagi tuntutan kematian, kehilangan anggota badan dan 36 Penyakit Kritikal, semua borang tuntutan ini juga perlukan diisi doktor berserta semua laporan yang relevan contohnya laporan polis, laporan kemalangan, surat kematian/surat pengebumian, sijil kematian dan juga laporan perubatan.

“Proses mendapatkan tuntutan berkemungkinan mengambil masa selama sebulan jika ada dokumen yang tidak lengkap atau tidak cukup. Pemegang polisi perlu berhubung dengan pihak insurans ejen atau melalui pihak Jabatan Pelanggan untuk segala tuntutan,” katanya.

Bagaimana pula pandangan pengguna atau pemegang polisi insurans? Bagi pelanggan insurans Prudential yang hanya mahu dikenali sebagai Loke, soal lewat mendapat bayaran atau kesukaran membuat tuntutan insurans tidak timbul.

“Proses itu sangat mudah dengan adanya bantuan ejen insurans,” katanya yang disahkan menghidap barah otak dan selamat menjalani pembedahan membuang tumor.

Beliau yang kini kembali pulih juga lega kerana tidak perlu pening kepala memikirkan bayaran hospital.

“Ejen insurans, Sarah Ng amat prihatin kerana membantu menyelesaikan tuntutan insurans yang pada mulanya saya ingat hanya dapat dimanfaatkan oleh anak dan isteri apabila saya meninggal dunia. Saya lupa bahawa insurans yang saya bayar setiap bulan itu rupanya memasukkan perlindungan jika kita mengidap penyakit kronik.

“Selepasnya semuanya selesai, barulah saya sedar bahawa industri insurans amat membantu dan begitu cepat bertindak di saat-saat kita amat memerlukan mereka,” katanya.

Info

Maklumat tuntutan insurans Prudential

  • Tuntutan kemasukan wad atau Daily Allowance Benefit, biasanya mengambil masa dua minggu jika segala borang dan dokumen lengkap.

  • Bagi pampasan kematian pula mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan. Namun, pemegang polisi perlu maklum, semuanya bergantung kepada dokumen relevan diperlukan Jabatan Tuntutan Prudential lengkap, tiada sebarang unsur penipuan atau sebarang kegagalan mengisytihar maklumat ketika membeli insurans pada masa hari pertama.

  • Jikalau pemegang polisi ada membuat penipuan atau kegagalan mengisytihar penyakit sedia ada, atau pun pihak ejen insurans tidak mengisytiharkan maklumat sepenuh semasa pemegang polisi mengisi borang insurans, syarikat insurans berhak untuk tidak membayar apa-apa tuntutan kepada pemegang polisi.

    Antara manfaat utama insurans kepada pemegang polisinya:

  • Perlindungan – Pembayaran pampasan kematian atau kehilangan anggota badan apabila pemegang polisi menimpa kecelakaan atau kemalangan. Bayaran pampasan dapat membantu keluarga pewaris semasa ketiadaan pemegang polisi. Bayaran pampasan ini boleh digantikan sebagai pendapatan bulanan semasa ketiadaan pasangan sama ada ibu/isteri dan/atau bapa/suami yang sudah meninggal dunia. Ia juga membantu pendidikan anak yang kehilangan ibu atau bapa.

  • Simpanan – Insurans hari ini bukan setakat memberi jaminan perlindungan tetapi juga skim simpanan masa depan pihak pemegang polisi. Elak persepsi negatif duit bayaran premium itu akan hangus. Ini kerana bagi jangka masa panjang, ia boleh dianggap simpanan masa depan atau untuk hari tua.

  • Kad Perubatan – Sebagai bantuan perubatan apabila pemegang polisi perlukan rawatan di panel hospital yang lazimnya hospital swasta. Rawatan perubatan di hospital biasanya melindungi pihak pemegang polisi yang mempunyai kad perubatan. Melalui kad perubatan ini, pemegang polisi dapat kelebihan menggunakan kad perubatan di mana mana panel hospital swasta di setiap negeri apabila terjadinya kecederaan akibat kemalangan atau pun dijangkiti penyakit kronik yang berpanjangan.

  • Pelan Kecemasan – Walaupun ramai memiliki perlindungan disediakan pihak majikan, pemegang polisi yang mempunyai pelan insurans sendiri boleh disifatkan mempunyai kelebihan kerana ada satu pelan ketika waktu kecemasan. Contohnya, pekerja tidak perlu risau ketika berlakunya keadaan seperti pengambilalihan syarikat, syarikat muflis, gabungan syarikat dan seterusnya boleh menyebabkan pihak pekerja hilang kerja.

  • Aset Masa Depan/ Pelan Persaraan - Insurans juga bagi saya boleh disifatkan sebagai asset masa depan atau pelan Persaraan kerana jikalau pemegang polisi sihat sepanjang hayat dan tidak pernah membuat sebarang tuntutan, pada akhir jangkamasa pelan matang, pemegang polisi masih akan mendapat satu jumlah wang simpanan yang dikenali sebagai (maturity value). Ini juga boleh dijadikan sebagai aset masa depan pemegang polisi. Ada juga pelan insurans berunsurkan pelaburan menyifatkan ini sebagai terma “cash value”.

    Produk Insurans

  • Insurans hayat

  • Insurans / Takaful am,

  • Insurans / Takaful berkaitan pelaburan (investment-linked insuransce plan)

  • Insurans / Takaful pelan bertempoh (endowment plan) contohnya sehingga 20 atau 30 tahun serta insurans berjangka pendek, maksudnya hanya melindungi jangkamasa setahun.

  • Hubungi saya melalui bagi maklumat lebih lanjut dan terperinci di email : pru1way@gmail.com

  • No comments:

    Post a Comment